NOVEMBER 2022

Pendapatan Sarawak 2022 Lebih RM10 Bil: Premier


KUCHING, Isnin: Pendapatan Sarawak pada tahun ini akan mencapai lebih RM10 bilion, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari Tun Abang Haji Openg.

Pada kebiasaannya, pendapatan Sarawak berada pada lingkungan empat hingga ke lima bilion ringgit, kata beliau dalam ucapan perasmian sempena majlis pelancaran Manifesto GPS bagi PRU15 di BCCK pada malam Ahad.

Beliau berkata palingi tinggi pendapatan Sarawak yang pernah dicatatkan ialah RM6 bilion sambil menyatakan pendapatan pada tahun ini akan berada pada kedudukan dua angka. 

“Saya tidak mahu menyebut angkanya sekarang tetapi akan dilaporkan di Dewan Undangan Negeri pada sidang bajet kelak,” jelas beliau.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut antara kejayaan Kerajaan GPS pimpinan beliau sebagai Pengerusi GPS. 

Beliau berkata kejayaan untuk memasukkan MA63 sebagai landasan Perlembagaan Persekutuan dengan pindaan kepada Artikel 1(2) dan Artikel 160 juga kejayaan GPS melalui Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Di samping itu, dari segi politik, GPS merupakan faktor yang telah membawa kepada sedikit kestabilan di peringkat persekutuan dengan memberi sokongan kepada kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Dato’ Sri Ismail Sabri Ya’akob.

“Sarawak telah memainkan peranan penting untuk mengwujudkan kestabilan pentadbiran negara,” ujar beliau.

Dari segi pembangunan sumber minyak dan gas Sarawak, beliau berkata Akta Pembangunan Petroleum 1974 hendaklah berkuatkuasa bersempena dengan Ordinan Perlombongan Minyak (1958) Sarawak yang memberi kuasa penuh kepada Sarawak bagi sumber di daratan. 

Bagi sumber minyak dan gas di luar pantai pula Sarawak menerusi Petros mempunyai hak penyertaan secara ekuiti dengan Petronas seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil (CSA) yang dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan Petronas pada 2020. 

Walaupun hanya berusia empat tahun sekarang Petros merupakan syarikat minyak dan gas ketiga terbesar di negara ini dengan pendapatan RM1.5 pada tahun lepas, ujar beliau. 

Mengenai Manifesto GPS yang bertemakan “Menjamin Sarawak Stabil, Maju, Makmur” beliau berkata ianya mempunyai lima tonggak utama, 25 teras dan 215 komitmen dengan matlamat untuk membawa Sarawak menjadi wilayah maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

Turut hadir Timbalan Premier, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian yang juga Pengerusi SUPP, Datuk Joseph Salang Gandum, Pengerusi PRS dan Datuk Paul Igai mewakili Pengerusi PDP.

Juga hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengarah Operasi GPS dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Manifesto.

Sumber dari : Sarawakku